PELABURAN Ketahui 4 Tempat Paling Berbaloi Untuk Simpan Duit Raya Anak-Anak

Setiap kali raya, balik kampung atau bertemu saudara mara, ada saja wang yang dihulurkan untuk anak-anak kita. Walaupun masih bayi, ada juga rezeki untuk mereka.

Didikan mengenai kewangan dan simpanan ini boleh bermula sejak kecil. Lagi awal lagi bagus. Malah, akaun pelaburan boleh menjadi aset atau hadiah yang terbaik dari untuk masa depan anak. Selain boleh digunakan di saat kecemasan, ia juga boleh digunakan ketika anak menyambung pelajaran di Universiti, melangsungkan perkahwinan, atau sebagai duit deposit rumah pertama mereka.

Berikut adalah beberapa jenis pelaburan atau simpanan untuk anak-anak yang sangat berbaloi demi masa depan mereka.

 

1. Tabung Haji

Tabung Haji adalah satu bentuk simpanan untuk anak yang boleh menjadi sebuah pelaburan yang amat berbaloi. Bagi tahun terkini 2016, dividen yang diagihkan adalah 4.25% manakala bonus Haji 1.5%. Selain nilai dividen dan bonus yang tinggi, jumlah simpanan permulaan untuk membuka akaun Tabung Haji hanyalah RM2 saja!

Dokumen yang diperlu:

  • Sijil lahir / MyKid kanak-kanak tersebut
  • Sijil Nikah (ibu / bapa tiri)

Apabila mendaftar akaun kanak-kanak, anda juga boleh terus mendaftar haji untuk si kecil kerana seperti yang kita sedia maklum, giliran yang perlu ditunggu amaaaatlah panjang. Tabung Haji tentunya menjadi pilihan utama kerana subsidi Haji yang diberikan beserta khidmat pengurusan yang dipercayai dan memuaskan. Menurut sumber setakat tahun 2017, Tabung Haji akan terus mengekalkan bayaran haji sebanyak RM9,980 bagi seorang jemaah pada tahun ini walaupun kos sebenar meningkat kepada RM19,550 seorang. Untuk mendaftar Haji, pendeposit perlu mencukupkan wang sehingga RM1,300 di dalam akaun.

2. Akaun Remaja ASB

Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah antara simpanan untuk anak yang paling popular dan tak perlu diperkenalkan lagi. Ia juga merupakan pelaburan jangka masa panjang yang sesuai kerana berisiko rendah dan mempunyai kadar keuntungan yang tinggi dan kompetitif dengan pasaran. Bagi tahun terkini 2016, dividen yang diagihkan adalah 6.75% manakala bonus 0.50%.

Loading...

Sejak tahun 2000, Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah memperkenalkan skim amanah saham terbaru yang membolehkan pelaburan dibuat untuk bayi berusia 6 bulan ke atas, iaitu Akaun Remaja. Sebelum ini, ia hanya dibolehkan kepada mereka yang berusia 12 tahun ke atas. Jadi, rugi kalau tak rebut peluang ini.

Untuk mendaftar Akaun Remaja ini, dokumen yang diperlukan adalah:

  • Borang Pendaftaran Unit Amanah (diambil di Pejabat ASB)
  • Kad Pengenalan dan/atau Sijil Lahir Remaja
  • Kad Pengenalan Penjaga Berdaftar
  • Wang Tunai

3. SSPN-i

Simpan, simpan, simpan, jaminan masa depan! Zaman sekarang, anak muda ramai yang dah terbeban dengan hutang pendidikan seawal usia 20an. Walaupun belum dapat kerja, hutang berkepuk-kepuk dah menunggu untuk dilunaskan. Oleh itu, sekiranya sasaran kita menabung untuk anak supaya anak tidak terbeban dengan hutang PTPTN, akaun SSPN-i (Skim Simpanan Pendidikan Nasional) boleh dibuka bermula usia anak 1 tahun. Seperkara lagi, kini PTPTN telahpun mewajibkan peminjam supaya ada akaun SSPN. Nanti kalau anak dah masuk universiti, tak payahlah nak susah-susah lagi.

Untuk menyokong kepentingan pendidikan untuk generasi baru ini, kerajaan juga bertindak untuk memberi pengecualian cukai taksiran dengan had maksimum sehingga RM6,000 setahun. Berbaloi kan?

4. Unit Trust

Umumnya, unit trust adalah sejenis pelaburan yang lebih berisiko berbanding Tabung Haji atau ASB yang kita biasa dengar. Modal permulaan adalah RM1,000 dan anda berpeluang mendapat agihan mengikut peratus keuntungan semasa. Ia adalah pelaburan jangka masa panjang yang jauh lebih menguntungkan, tapi kenalah pastikan wang tidak tersentuh dan backup sedikit dengan ilmu pelaburan dari semasa ke semasa.

Daripada ‘Terperam’, Baik Dilaburkan!

Jika selama ini anda hanya membuka akaun simpanan untuk anak di bank, apa kata anda manfaatkan peluang jangka masa panjang ini untuk pelaburan yang lebih menguntungkan. Ini kerana, keuntungan yang diberikan dalam simpanan bank biasa adalah sangat sedikit, iaitu sekitar 1-3% sahaja.

Jadi, daripada dibiarkan terperam saja dalam almari atau akaun bank, lebih baik kalau kita laburkannya untuk jangka masa panjang. Secara tak langsung, anak-anak pun dapat turut belajar selok-belok tentang tertib kewangan sejak kecil lagi.

 

Sumber: MajalahLabur

Loading...
Shares