Kes Pembunuhan Kim Chol: Siti Aisyah ‘Kepanasan’ Selepas Menyerang Mangsa

SHAH ALAM: Wanita warga Indonesia Siti Aisyah kelihatan ‘kepanasan’ dan merenjis-renjiskan tangan serta menunjukkan tanda tidak selesa selepas melakukan ‘serangan’ terhadap warga Korea Utara Kim Chol.

Berdasarkan kepada rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV), menunjukkan wanita itu yang juga tertuduh pertama dalam kes bunuh Kim Chol, cuba mengelakkan tangannya daripada menyentuh pemegang eskalator ketika bergegas menuruni tangga dari Aras 3 Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) ke Aras 2 menuju ke tandas.

Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/KLIA, Asisten Superintendan (ASP) Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz berkata, rakaman CCTV pada jam 9.11 pagi, menunjukkan Siti Aisyah berlari keluar daripada tandas menuju ke laluan belakang Restoran Bibik Heritage.

Wan Azirul Nizam berkata, Siti Aisyah yang memakai baju T tanpa lengan dan seluar jeans koyak di lutut, kemudian berlari melalui pintu masuk Zon Hijau untuk ke eskalator kembali ke Aras 3.

Saksi itu berkata, bagi tertuduh kedua warga Vietnam Doan Thi Huong pula kelihatan tergesa-gesa beredar dari tempat kejadian, manakala tangan dia menadah menunjukkan tanda tidak selesa.

“Pergerakan dia laju, ada ketika bila tangannya diturunkan seolah-olah mengelakkan lengan baju dan pakaiannya daripada terkena tapak tangan. Wajahnya pula cemas dan menunjukkan seolah-olah mahu beredar dari situ dengan segera dan menuju ke tandas.

“Daripada pemerhatian saya, Doan ini (Thi Huong) sudah sedia maklum apa yang perlu dilakukan walaupun dia berada dalam keadaan cemas,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin pada sesi pemeriksaan utama.

Loading...

“Seminit kemudian Doan keluar dari tandas dan saya dapati tangannya kelihatan seperti biasa dibandingkan dengan keadaan sebelumnya, kali ini dia lebih relaks dan tangan ke arah bawah seperti biasa tetapi pergerakan masih lagi dengan cepat,” katanya lagi.

Wan Azirul Nizam berkata, Thi Huong yang kelihatan lebih santai sambil berjalan menggunakan telefon bimbit, terus menuju ke Hab Pengangkutan dan keluar menunggu teksi di hadapan pintu.

Saksi itu berkata, Siti Aisyah pula kemudian tiba di tempat sama dalam keadaan cemas dan tergesa-gesa, bagaimanapun hanya wanita Indonesia itu yang menaiki teksi.

Sementara itu, dalam rakaman terdahulu sebelum kejadian, Wan Azirul Nizam berkata berdasarkan kepada CCTV kelihatan Siti Aisyah masuk ke dalam Restoran Bibik Heritage dan bertemu seorang lelaki yang memakai topi hitam dan cermin mata.

“Saya lihat mereka duduk di meja sama dan berbual-bual, kemudian lelaki itu serahkan sekeping tiket teksi kepada Siti Aisyah dalam kejadian yang berlaku pada 8.14 pagi.

“Dalam rakaman itu, mereka berbual-bual dalam keadaan mesra sebelum lelaki itu menyerahkan tiket,” katanya.

Saksi itu berkata, rakaman pada jam 6.59 pagi pula menunjukkan Thi Huong membeli tiket teksi di salah satu kaunter penjualan tiket di Hab Pengangkutan.

 

Sumber Berita Harian

 

——————-

 

Artikel Menarik Yang Lain

Kim Chol berjalan terhincut ke Klinik Menara

SHAH ALAM: Lelaki Korea Utara, Kim Chol dilihat berjalan terhincut-hincut ketika dibawa ke Klinik Perubatan Menara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) seperti dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipertontonkan kepada Mahkamah Tinggi, petang tadi.

Saksi Pendakwaan kesembilan dalam perbicaraan kes pembunuhan Kim Chol (didakwa abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam), Asisten Superintendan Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, memberitahu mahkamah, sebelum itu mangsa dan anggota polis bertugas dilihat keluar dari lif di aras dua dan masih berjalan dalam keadaan biasa ke arah Klinik Perubatan Menara.

Bagaimanapun, katanya, dalam rakaman CCTV di kawasan ruang menunggu di hadapan Klinik Perubatan Menara, lelaki itu dilihat berjalan sedikit ‘tersangkut-sangkut’ (terhincut-hincut) berbanding sebelum itu.

“(Dalam) rakaman di hadapan Klinik Perubatan Menara, (mangsa) masih berjalan terhincut sebelum dilihat memasuki ke dalam klinik. Si mati kemudian di lihat berada di kaunter (dalam klinik).

“Selepas berada di kaunter, ada ramai petugas memberi rawatan kecemasan kepada si mati. Si mati dibaringkan di atas stretcher (pengusung). Petugas itu dipercayai paramedik. Bantuan pernafasan sedang diberikan,” katanya dalam perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin.

Wan Azirul Nizam berkata, rakaman seterusnya menunjukkan ruang di lif kecemasan di belakang Klinik Perubatan Menara yang boleh diakses oleh pasukan paramedik dibenarkan saja untuk waktu kecemasan.

Katanya, dalam rakaman itu, mangsa terbaring di atas pengusung dan bantuan pernafasan masih diberikan kepadanya, manakala baju blazer berwarna biru cair yang sebelum itu dipakai serta beg yang disandang mangsa sudah ditanggalkan.

Terdahulu, mahkamah turut dipertontonkan rakaman CCTV yang menunjukkan Kim Chol berjalan memasuki zon hijau di aras tiga klia2 dengan memakai blazer berwarna biru cair, berseluar jeans dan menggalas beg.

Wan Azirul Nizam memberitahu mahkamah, dalam rakaman seterusnya, mangsa dilihat berada di ruang legar aras tiga dan merujuk kepada jadual penerbangan sebelum berjalan ke kaunter pendaftaran masuk sendiri.

Katanya, di kaunter pendaftaran masuk sendiri itu, tertuduh kedua, Doan Thi Huong yang memakai baju berwarna putih lengan panjang, dilihat mendekati mangsa dan menyerang lelaki itu, kemudian wanita itu serta tertuduh pertama, Siti Aisyah dilihat meninggalkan lokasi dari arah bertentangan.

“Si mati, selepas terkena serangan itu, kembali ke kaunter pertanyaan, berjumpa dengan kakitangan di kaunter pertanyaan. Dia menunjukkan apa yang dilakukan oleh tertuduh, menggunakan isyarat tangan.

“Selepas itu, dia dibawa oleh kakitangan kaunter pertanyaan ke arah zon hijau, rakaman di pintu keluar zon hijau menunjukkan si mati menunjukkan isyarat sama kepada tiga anggota polis bertugas,” katanya.

Sementara itu, mahkamah juga diberitahu, barang-barang milik peribadi kepunyaan Kim Chol seperti blazer, beg, kasut dan gelang manik dipulangkan kepada Kedutaan Korea Utara selepas pemeriksaan oleh Jabatan Kimia Malaysia.

Wan Azirul Nizam berkata, barang-barang berkenaan diserahkan selepas menerima arahan daripada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, namun tidak pasti mengapa arahan itu dikeluarkan.

Katanya, pihaknya juga menemui wang tunai berjumlah AS$100,000 dalam beg milik mangsa dan wang itu disimpan oleh Ketua Polis Daerah Sepang, di dalam peti besi.

Sementara itu, mahkamah dijadualkan melawat klia2 pada 24 Oktober ini bagi meninjau lokasi kejadian yang ditunjukkan dalam rakaman CCTV.

Bagaimanapun, Azmi akan menetapkan waktu lawatan itu dalam prosiding yang bersambung esok.

Sumber BeritaHarian

 

—————-

Artikel Menarik Yang Lain

Prosiding Jong Nam: Saksi ke-9 sakit perut, perbicaraan ditangguh

SHAH ALAM: Perbicaraan kes pembunuhan warga Korea Utara, Kim Jong Nam di Mahkamah Tinggi Shah Alam terpaksa ditangguhkan awal selepas saksi mengadu ‘sakit perut’ akibat keracunan makanan.

Hakim Datuk Azmi Ariffin kemudian mencadangkan saksi kesembilan iaitu Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Superintenden Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz pergi ke klinik bagi memastikan beliau cukup sihat untuk memberi keterangan.

“Ini penting supaya perjalanan kes tidak terganggu,” kata beliau.

Atas sebab itu, sesi petang perbicaraan kes tamat awal sekitar jam 3.15 petang dan akan disambung semula pada pagi Khamis.

Pada sesi petang, Wan Azirul Nizam diminta Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin untuk memberi keterangan berhubung pergerakan Jong Nam sebaik sahaja mangsa tiba di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sehingga dia dibawa ke tempat rawatan kecemasan di klinik dalam bangunan tersebut.

Perbicaraan kes ini dijadualkan berlangsung selama 23 hari.

 

Sumber AstroAwani

Loading...
Shares