Jinichi Kawakami : Ninja Sebenar Terakhir, Juga Seorang ‘Engineer’.

ninja terakhir jinichi kawakami

Seorang bekas jurutera yang berusia 68 tahun mungkin kelihatan seperti orang kebanyakan sahaja. Namun, Jinichi Kawakami yang berasal dari Jepun dikatakan sebagai ninja terakhir dalam dunia yang masih hidup.

Banyak pihak yang mengakui akan hal ini kerana salasilah keturunan ninja boleh dikaji kembali sehingga 500 tahun yang lalu. Tambahan pula, Jinichi merupakan pemimpin ke-21 suku Ban. Akan tetapi, Jinichi tidak gemar menggelarkan dirinya sebagai ninja terakhir kerana tidak mahu sesiapa berasa ragu-ragu atau memanggilnya penipu.

Menurut Jinichi, beliau adalah ninja terakhir di dunia kerana tiada orang lain yang mempelajari kemahiran ninja secara terus daripada Mahaguru Ninja sejati. Masyarakat zaman kini juga lebih hanya mempercayai ninja sebagai cerita fiksyen dalam filem.

Jinichi mula mengajar ninjutsu iaitu seni mempertahankan diri ninja sejak 15 tahun yang lalu. Namun, beliau mula mengenali dunia misteri ninja sejak berusia 6 tahun tetapi mempunyai memori yang samar-samar tentang pertemuan pertama dengan Mahagurunya bernama Masazo Ishida, seorang lelaki yang berpakaian seperti sami Buddha.

Sejak itu, Jinichi mula berlatih dan patuh pada arahan tanpa mengetahui apa sebenarnya yang sedang dilakukan. Tahun demi tahun berlalu, barulah Jinichi mengetahui yang dia sebenarnya sedang berlatih ninjutsu.

ninja terakhir dalam dunia shuriken

Selain daripada kemahiran fizikal dan mental, latihan ninjutsu juga merangkumi pembelajaran tentang bahan kimia, cuaca dan juga ilmu psikologi. Walaupun ia berasal daripada teknik peperangan seperti pengintipan dan serangan gerila, ninjutsu juga merupakan kemahiran ikhtiar hidup (survival) yang komprehensif.

Loading...

Untuk latihan tumpuan misalnya, Jinichi perlu memerhatikan sumbu lilin yang sedang terbakar sehingga dia berasa seolah-olah berada di dalamnya. Selain itu, Jinichi juga perlu berlatih mendengar bunyi jarum yang jatuh ke lantai.

ninja terakhir dalam dunia 3

Jinichi hebat memanjat dinding, melompat dari tempat yang tinggi dan mahir mencampurkan bahan kimia untuk membuat racun, bom dan asap. Walau bagaimanapun, mana-mana bahan kimia ini tidak boleh diuji kerana dikhuatiri melanggar undang-undang zaman moden.

Jinichi dikatakan membesar sebagai seorang kanak-kanak yang aneh di kalangan rakan-rakan tetapi latihan ninjanya tidak begitu dihiraukan kerana seluruh rakyat Jepun ketika itu sibuk memperbaiki kehidupan selepas tamat peperangan.

Sebelum berusia 19 tahun, Jinichi telahpun berjaya mendapatkan gelaran Mahaguru yang membolehkannya menerima satu skrol rahsia dan juga peralatan istimewa seorang ninja.

jinichi kawakami ninja tunggal bumi

Jinichi berkata, seni ninja kebiasaannya lebih fokus kepada menyerang ketika orang sedang leka berbanding menggunakan kekerasan secara bersemuka. Kelemahan inilah yang dieksploitasi oleh para ninja untuk menumpaskan musuh yang lebih besar atau lebih banyak.

Ninja juga mahir dalam mengalih perhatian agar dapat melarikan diri dengan cepat. Selain itu, mereka juga boleh bersembunyi di sebalik benda-benda yang bersaiz kecil.

Beberapa tahun lalu, Jinichi memulakan satu penyelidikan di Mie University di mana beliau mengkaji sejarah ninja. Namun, menurutnya, beliau tidak akan mengambil perantis baru untuk mengganti tempatnya dan menjadi pemimpin suku Ban yang ke-22.

“Ninja tidak lagi sesuai untuk hidup dalam zaman moden,” kata Jinichi.

Rujukan:

1. Wikipedia

2. Japan Today

 

Sumber iluminasi

Loading...
Shares