Hukuman Penjara 10 Tahun Dan Sebatan Jika Didapati Membawa Senjata Walaupun Untuk Tujuan Perlindungan Diri

Majoriti rakyat Malaysia beranggapan bahawa membawa senjata seperti pisau, parang mahupun kayu bagi tujuan keselamatan diri adalah satu perkara yang normal. Namun begitu, jika pihak berkuasa mendapati anda membawa senjata, anda boleh dikenakan tindakan undang-undang yang berat!

Peguam yang dikenali sebagai Faizal Rahman menjelaskan kepada Bernama bahawa mana-mana individu yang memiliki, membawa atau menyimpan senjata tanpa sebarang sebab yang munasabah boleh didakwa di bawah Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. Jika sabit kesalahan, individu boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun dan juga hukuman sebat.

Menurut Faizal lagi, Malaysia bukan sebuah negara yang tinggi kadar jenayahnya sehingga membuatkan rakyat harus melengkapkan diri dengan keperluan senjata sebelum keluar dari rumah.

“Jangan beri alasan bawa senjata untuk keselamatan diri, itu tidak boleh. Negara kita bukan macam sesetengah negara luar yang tidak selamat apabila pistol boleh digunakan sewenang-wenangnya, akses pada pasukan keselamatan juga senang dan banyak, alasan membawa senjata untuk lindungi diri tidak boleh diterima”.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Faizal setelah menerima banyak pandangan daripada orang ramai yang mempersoalkan tindakan undang-undang dikenakan ke atas individu yang memiliki senjata.

Sekitar Ogos yang lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan kepada seorang pencuci kenderaan setelah dia mengaku bersalah memiliki sebilah pisau pemotong daging berukuran 25 sentimeter tanpa sebarang kebenaran.

Loading...

Pelaksanaan undang-undang dan akta ini adalah perlu bagi mencegah daripada berlakunya kes-kes jenayah bersenjata seperti samun, pecah rumah, rompakan bersenjata, peras ugut dan aktiviti kumpulan kongsi gelap.

“Namun tindakan penguatkuasaan atau sebarang penahanan individu perlu dilakukan dengan teliti agar tiada penganiayaan berlaku kepada individu yang tidak bersalah,” jelas Faizal lagi.

Seorang Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara memaklumkan bahawa masyarakat masih belum jelas mengenai perkara tersebut dan menganggap pihak polis serta pendakwa raya bertindak sewenang-wenangnya dalam menahan individu yang memiliki senjata.

“Pihak pendakwaan tidak sewenang-wenangnya mendakwa mereka yang ada pisau atau apa-apa senjata sekiranya terdapat penjelasan yang munasabah. Sebagai contoh, seorang lelaki ditahan pada jam 3 pagi dengan pisau rambo atau parang di hadapan Dataran Maybank”.

Tambah beliau, lelaki berkenaan telah ditahan oleh pihak berkuasa dan setelah melakukan soal siasat, didakwa senjata berkenaan akan digunakan untuk ke kebun yang terletak di Rawang.

“Persoalannya di sini, apakah yang lelaki itu lakukan di Dataran Maybank dengan pisau dan parang tersebut pada jam 3 pagi”.

Beliau turut memberitahu bahawa mana-mana individu yang memiliki sebarang senjata yang disenaraikan sebagai senjata berjadual seperti pisau, parang, pedang, kerambit, tombak, buku lima, kapak kecil dan sebagainya tanpa sebab yang sah boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Berikutan itu, orang awam dinasihatkan untuk tidak membawa sebarang senjata dengan tujuan yang betul dan tidak memberi sebarang alasan di atas kesalahan membawa senjata untuk perlindungan diri.

“Bawalah senjata dengan tujuan. Kalau kata nak pergi ke kebun hari ini barulah bawa senjata itu ke dalam kereta hari ini. Bukan nak pergi kebun hari Sabtu tetapi hari Isnin sebelumnya dah simpan dalam kereta, ia boleh menimbulkan curiga kepada pihak berkuasa”.

Sumber EraBaru

Loading...
Shares