Hachishakusama Hantu Perenggut Nyawa Setinggi 8 Kaki!

Atuk dan nenek tinggal di Jepun. Setiap kali musim panas, aku, ayah dan ibu akan datang melawat. Mereka tinggal di sebuah kampung yang kecil dan terpencil. Aku sangat suka bermain di belakang rumah atuk yang luas. Sebagai cucu tunggal, aku sangat dimanjakan dan bebas bermain di segenap pelosok rumah dan laman belakang.

Kali terakhir berjumpa mereka semasa aku berusia 8 tahun. Seperti biasa, kami sekeluarga pergi ke Jepun untuk bercuti musim panas. Mereka sangat gembira melihat kami. Ayah dan ibu pula merancang untuk bersiar-siar di beberapa tempat lain di negeri Jepun. Jadi aku ditinggalkan di bawah jagaan atuk dan nenek.

Pada suatu hari, aku sedang bermain di halaman belakang. Atuk dan nenek berada di dalam rumah. Cuaca agak segar pada masa itu dan aku berbaring di atas rumput, melihat awan bergerak. Tiba-tiba aku terdengar bunyi yang pelik.

“Po… Po… Po… Po… Po… Po… Po…”

Aku bingkas bangun dan menoleh ke segenap sudut mencari punca bunyi tersebut. Bunyinya seperti suara lelaki… sangat dalam.

Semasa sedang tercari-cari arah itulah aku perasan ada sebuah topi jerami di belakang pagar tinggi. Dari sanalah punca bunyi itu.

“Po… Po… Po… Po… Po… Po… Po…”

Loading...

Kemudian topi itu mula bergerak, kelihatan kelibat tubuh yang memakainya. Ia berhenti di hujung pertemuan pagar tinggi tersebut. Aku terlihat wajahnya… seorang wanita yang sangat tinggi… lebih kurang 8 kaki.

Merasa sedikit gementar, aku berundur. Tidak lama selepas itu, dia mula bergerak sambil bersuara seperti tadi, semakin jauh semakin sayup kedengaran akhirnya hilang.

Bingung memikirkannya aku segera masuk ke dalam rumah. Atuk dan nenek di dapur sedang menikmati teh. Aku segera duduk di tengah mereka dan memberitahu perkara tadi. Pada mulanya mereka tidak berminat sangat mendengarnya, sehinggalah aku meniru bunyinya.

“Po… Po… Po… Po… Po… Po… Po…”

Mereka terpaku mendengarnya. Jelas terpancar kerisauan di wajah nenek, sedangkan atuk yang tadi tersenyum tiba-tiba bertukar menjadi serius. Perlahan-lahan atuk mendekat dan memegang kedua belah bahuku.

“Cuba beritahu atuk,” tegas nada suaranya. “Cakap yang betul… berapa ketinggiannya?”

“Tinggi macam pagar di belakang,” ujarku.

Mendengar penjelasanku, makin banyak soalan atuk. “Di mana dia berdiri? Bila berlaku? Apa yang kau buat? Ada dia nampak kau?”

Aku menjawab semua soalannya setakat yang mampu. Tiba-tiba dia bingkas bangun menuju ke ruang tamu, kemudian membuat panggilan telefon. Aku tidak dapat mendengar dengan jelas butir percakapannya. Nenek yang sejak tadi mendiamkan diri mengusap rambutku.

Selesai bercakap, atuk segera menghampiri kami dan berpesan kepada nenek.

“Aku keluar sekejap,” katanya. “Kau tinggal sini dan jangan sesekali berenggang dengannya,” katanya lagi, sambil mengalihkan pandangannya ke arahku.

“Mengapa tuk?” tanyaku tidak sedap hati.

Atuk merenungku dalam-dalam sambil mengusap kepalaku, “Kau terserempak dengan Hachishakusama,” tegas suara atuk, tapi lembut.

Sejurus selepas itu, atuk pun melangkah keluar dan hilang dari pandangan kami.

Aku berpaling kepada nenek dan bertanya, “Siapa Hachishakusama?”

“Jangan risau,” jawabnya. “Atuk akan buat sesuatu. Kau tak perlu bimbang,” kata nenek lagi. Ada nada risau pada suaranya.

Sementara menunggu atuk pulang, aku dan nenek duduk di dapur. Nenek menjelaskan ada ‘makhluk’ berbahaya yang sering mengganggu penduduk kampung mereka. Ia dikenali sebagai ‘Hachishakusama’ kerana ketinggiannya. Dalam bahasa Jepun, ia bermaksud ‘Lapan Kaki Tinggi.’

Makhluk itu menyerupai wanita yang sangat tinggi dan mengeluarkan suara “Po… Po… Po…” seperti lelaki. Penampilannya berubah bentuk mengikut orang yang melihatnya. Kadan-kadang ia menyerupai wanita tua berpakaian kimono. Ada pula yang melihatnya seperti seorang gadis berpakaian putih untuk upacara pengkebumian. Satu yang tidak berubah ialah… ketinggian dan bunyinya!

Kira-kira 20 tahun dahulu, makhluk ini telah ditangkap oleh sekumpulan sami dan mengurungnya di sebuah runtuhan bangunan jauh dari kampung itu. Mereka memerangkapnya dengan 4 patung agama dipanggil ‘jizos’ yang diletakkan di arah Utara, Selatan, Timur dan Barat runtuhan bangunan tersebut.

Ia tidak sepatutnya terlepas, pasti ada sesuatu yang membuatnya bebas semula!

Ada satu perkara yang nenek tidak beritahu. Aku hanya mengetahuinya apabila dewasa. Sesiapa saja yang bertemu dengannya akan ditakdirkan mati beberapa hari kemudian.

Apabila atuk pulang, dia ditemani seorang perempuan tua. Dia memperkenalkan dirinya sebagai K-san. “Nah, ambil ini… simpan baik-baik,” katanya sambil meletakkan kertas yang sudah renyuk ke dalam genggamanku.

Kemudian atuk dan K-san naik ke atas, meninggalkan aku dan nenek di dapur.

Selepas beberapa ketika, atuk dan K-san membawaku naik ke atas, kemudian masuk ke dalam bilikku. Pintu bilikku ditampal dengan helaian-helaian kertas dengan tulisan-tulisan yang aku tidak fahami.

Terdapat empat mangkuk berisi garam di keempat-empat penjuru bilikku, dan sebuah patung kecil Buddha di letakkan di atas sebuah kotak kayu, betul-betul di tengah bilik. Terdapat juga sebuah baldi berwarna biru muda.

“Buat apa baldi biru itu?” aku bertanya.

“Tempat kau buang air,” jawab atuk.

K-San menyuruhku duduk di tempat tidur kemudian berkata, “Nanti, malam akan tiba. Jadi dengar sini baik-baik, kau mesti tinggal di dalam bilik ini sehingga esok pagi. Jangan keluar dari bilik ini walau apa pun yang terjadi sebelum pukul tujuh pagi esok. Atuk dan nenekmu tidak akan menjengukmu di sini. Ingat! Jangan keluar walau apapun yang terjadi. Aku akan beritahu ibubapamu apa yang terjadi di sini.”

“Ingat pesanan K-san,” atuk mengingatkanku. “Dan jangan lepaskan kertas yang diberikan olehnya. Jika sesuatu terjadi, berdoa kepada Buddha, dan pastikan pintu bilik ini terkunci apabila kami keluar.”

Aku segera mengunci pintu bilik sebaik saja mereka keluar. Untuk menghilangkan boring, aku memasang TV yang dibawa masuk oleh atuk, tapi tidak berminat untuk menonton kerana gementar. Nasi dan keropok yang ditinggalkan oleh nenek juga langsung tidak menarik minatku. Aku pun berbaring kemudian terlelap.

Apabila terjaga, jam menunjukkan pukul 1 subuh. Tiba-tiba aku terdengar sesuatu… seperti bunyi mengetuk jendela.

“Tap, Tap, Tap, Tap, Tap…”

Tidak dapat dibayangkan betapa takutnya aku waktu itu. Aku berusaha menenangkan diri, mungkin itu bunyi angin atau ranting pokok. Lama-kelamaan bunyi itu hilang.

Kemudian terdengar suara atuk memanggilku.

“Macam mana kau di dalam?” tanya atuk. “Kalau kau takut aku boleh masuk menemanimu.”

Aku merasa lega dan hampir saja membuka pintu apabila tiba-tiba bulu roma ku menegak. Bunyinya seperti suara atuk, tapi ada sesuatu yang agak berbeza. Aku tidak dapat jelaskan… tapi ia memang lain!

“Apa yang kau buat?” suara itu bertanya. “Kau boleh buka pintu sekarang.”

Aku mengerling ke kiri, dan mendapati garam di dalam mangkuk perlahan-lahan bertukar menjadi hitam.

Aku berundur menjauhi pintu. Seluruh anggota badanku menggigil ketakutan. Kertas renyuk yang diberikan K-san aku genggam erat-erat. Dalam ketakutan, aku tidak habis-habis tunduk di depan patung Buddha.

“Tolong selamatkan aku dari Hachishakusama,” ujarku berulangkali.

Kemudian bunyi siang tadi muncul semula betul-betul di luar pintu bilik tidurku!

“Po… Po… Po… Po… Po… Po… Po…”

Bunyi ketukan berulang lagi. Malam itu aku betul-betul ketakutan. Ia seperti tidak berakhir, sehingga semua keempat-empat garam di dalam mangkuk bertukar menjadi hitam.

Aku berasa lega apabila melihat jam menunjukkan 7.30 pagi. Dalam keadaan yang masih curiga, perlahan-lahan aku membuka pintu. Kelihatan nenek dan K-san di depan. Ada airmata bergenang di mata nenek.

Aku menerpa ke arah nenek dan memeluknya erat-erat.

“Aku gembira kau tidak apa-apa,” katanya.

Apabila turun ke bawah aku terkejut apabila melihat ayah dan ibu bersama atuk sedang duduk di dapur. Kemudian atuk bersuara, “Cepat! Kita perlu berangkat sekarang.”

Kami melangkah ke pintu depan. Kelihatan di halaman depan sebuah van hitam sedang menanti kami. Beberapa orang kampung semuanya lelaki juga sedang berdiri di sana. Kedengaran mereka berbisikan, “Itu dia budak lelakinya.”

Van itu mempunyai 9 tempat duduk. Mereka menyuruhku duduk di tengah dikelilingi 9 orang lelaki. K-san duduk bersebelahan dengan pemandu.

Lelaki di sebelah kiriku tunduk memandangku, kemudian berkata, “Aku tahu kau sedang takut. Kau cuma perlu pejamkan mata dan tunduk. Hanya kau seorang yang dapat melihatnya. Jangan buka matamu sehingga kita keluar dari tempat ini.”

Atuk memandu di depan, diikuti kereta ayah di belakang. Apabila semuanya sudah bersedia, kami pun mula bergerak meninggalkan tempat itu, sangat perlahan… kira-kira 20km sejam.

Tiba-tiba K-san memberi amaran, “Ini adalah bahagian yang paling sukar,” kemudian dia mula bercakap sesuatu yang aku tidak fahami.

Akhirnya suara itu muncul lagi.

“Po… Po… Po… Po… Po… Po… Po…”

Spontan aku menggenggam erat kertas yang diberikan oleh K-san. Semasa mahu menundukkan kepala aku terpandang sesuatu di luar sana… sesuatu berwarna putih seolah-oleh berkibar ditiup angin bergerak seiringan di tepi van!

Tiba-tiba ia membongkok, terlihat jelas wajahnya!

“Tidak!” aku berteriak.

“PEJAMKAN MATAMU!” Lelaki di sebelahku berteriak.

Dalam ketakutan aku membongkok sambil memejamkan mata. Kemudian bunyi ketukan itu muncul lagi.

Tap, Tap, Tap, Tap, Tap…

Dan suara itu bertambah kuat!

“Po… Po… Po… Po… Po… Po… Po…”

Bunyi ketukan itu memenuhi ruang van. Aku dapat merasakan semua penumpang berada dalam keadaan tegang. Mereka tidak dapat melihat Hachishakusama. Mereka tidak dapat mendengar suaranya. TAPI mereka dapat mendengar ketukan itu!

Makin kuat suara K-san berdoa atau mungkin juga membaca mantera. Selepas beberapa ketika bunyi ketukan dan suara itupun hilang.

K-san menarik nafas dalam-dalam, kemudian menoleh ke arah ku, “Aku rasa kita sudah selamat sekarang.” katanya.

Akhirnya van dihentikan di tepi jalan. Mereka menyuruhku keluar dan masuk ke dalam kereta ayah. Dalam teresak-esak, ibu memelukku… sangat erat.

Atuk dan ayah tunduk memberi hormat kepada mereka semua. K-san menghampiriku di luar tingkap kereta, kemudian menyuruhku menunjukkan kertas yang diberikannya. Apabila aku membuka tangan, ternyata ia bertukar menjadi hitam.

“Aku rasa kau sudah selamat sekarang,” katanya. “Sekadar untuk berjaga-jaga, simpan kertas ini.” Dia memberikan sehelai kertas yang baru.

Selepas itu, kami terus ke lapangan terbang. Apabila berada di dalam pesawat, ayah bercerita semasa zaman kanak-kanaknya, kawannya turut menjadi mangsa Hachishakusama. Kawannya hilang tanpa kesan.

Kata ayah lagi, salah satu patung Jizo yang memerangkap Hachishakusama telah pecah. Itulah yang menyebabkannya bebas semula.

Kejadian ini telah berlaku 10 tahun yang lalu. Sejak itu aku tidak dibenarkan oleh atuk datang ke Jepun. Hanya panggilan telefon yang jadi pengubat rindu kami.

Sebelum atuk meninggal 2 tahun yang lalu, dia berpesan supaya aku tidak datang menghadiri pengkebumiannya. Aku benar-benar sedih.

Beberapa hari yang lalu, nenek meneleponku. Dia menyuruh aku datang melawatnya.

“Sudah 10 tahun berlalu. Aku pasti kau selamat apabila menziarahiku.” katanya.

“Tapi… tapi… bagaimana dengan Hachishakusama?” ujarku.

Untuk beberapa ketika, nenek tidak menjawab. Kemudian aku terdengar suara itu lagi, begitu jelas di dalam telefon:

“Po… Po… Po… Po… Po… Po… Po…”

Sumber: PakBelalang

Loading...
Shares