Dibunuh, Dikerat 6 Bahagian

BEDAH siasat mayat pekerja kontrak warga Bangladesh mendapati punca kematiannya adalah disebabkan pukulan objek tumpul pada kepala dan lehernya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, bedah siasat dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar pada jam 11.45 pagi hingga 7 malam, semalam oleh doktor pakar.

Katanya, bedah siasat juga menunjukkan mayat mangsa, Azad Late Mofyanuddin, 38, dikerat enam bahagian sebelum disumbat ke dalam tiga guni plastik.

“Mangsa dipotong secara kemas di bahagian sendi kaki dan tangan dengan objek yang tajam dan berat. Bahagian organ dalaman tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan malam semalam.

Beliau berkata, guni pertama berisi bahagian kepala hingga ke pusat badan manakala guni kedua mengandungi bahagian badan pinggang hingga ke lutut.

“Guni ketiga pula berisi kedua-dua belah lengan tangan dan betis kaki,” katanya.

Beliau berkata, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihaknya giat mengesan dua rakan serumah mangsa bagi membantu siasatan.

Terdahulu, mayat mangsa ditemui di rumah berkembar satu tingkat di Kampung Pengkalan Lebai Man, Sungai Petani 1 pagi, semalam.

Loading...

 

.

Sumber: Harian Metro

Loading...
Shares